Monday, 7 November 2016

Modus Latihan Aktivis Kemanusiaan

Kertas kerja ini ditulis untuk Konvensyen Mahasiswa UNISEL 2016

3 Reaksioner

Pada tahun 1859, tercetus suatu perang melibatkan tentera Perancis diketuai Napoleon III dan tentera Austria diketuai Emperor Franz Joseph di Solferino, Itali. 40,000 tentera tercedera dalam pertempuran selama lebih 15 jam. Mereka mendapat rawatan daripada penduduk kampung Castiglione dan seorang pemuda berbangsa Switzerland bernama Jean-Henry Dunant. Sejurus tamat perang Solferino, Henry Dunant menulis buku Memori Solferino. Dalam bukunya, Henry Dunant menulis hasratnya untuk diwujudkan suatu pertubuhan untuk membantu tentera yang tercedera dalam peperangan. Pertubuhan ini akhirnya dinamakan sebagai Persatuan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) atau the Red Cross. Ditubuhkan pada 1863, ICRC telah terlibat dalam misi kemanusiaan di seluruh dunia selama lebih 150 tahun dan menerima Hadiah Nobel Keamanan sebanyak 3 kali.

Pada 3 September yang lalu, enjin carian Google melalui Google Doodle telah meraikan hari lahir seorang tahanan perang Jepun semasa Perang Dunia Kedua (WW II) bernama Sybil Kathigasu. Dilahirkan di Indonesia, Sybil adalah seorang jururawat terlatih dan bersama suaminya seorang doktor membekalkan ubat-ubatan, rawatan dan maklumat kepada Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA) di Papan, Perak sebelum ditangkap dan diseksa oleh tentera Jepun sehingga akhir WW II pada 1945. Sybil adalah satu-satunya wanita Malaya yang dianugerahkan George Medal oleh kerajaan British untuk keberanian. Sybil sempat menukilkan sejarah hidupnya dalam buku No Dram of Mercy. Pada tahun 1948, Sybil meninggal dan disemadikan di Ipoh.

Selain itu, seorang doktor perubatan muda, Dr. Mohd Lutfi Fadil Lokman dipilih oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menyertai 16 warga global lain sebagai pemimpin muda PBB bagi Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) semasa program Social Good Summit 2016 di New York pada 19 September yang lepas. Berusia 29 tahun, Dr. Lutfi telah dipilih daripada 18,000 penyertaan dari 186 buah negara. Graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini telah mengasaskan Hospital Beyond Borders (HBB) dan membangunkan sebuah klinik di Kemboja. Sebuah hospital bersalin juga akan siap dibina juga di Kemboja Januari tahun hadapan.

Henry Dunant, Sybil Kathigasu dan Dr. Lutfi adalah tiga karekter aktivis yang menjalankan aktiviti kemanusiaan tanpa sempadan dan berbakti kepada masyarakat di bumi asing. Henry Dunant adalah aktivis kelahiran Geneva dan mendapat inspirasi untuk berbakti di Itali. Manakala Sybil, anak kelahiran Indonesia membanting tulang membantu mengekang kemaraan tentera Jepun di Perak. Dr. Lutfi dari Gombak, Malaysia berjaya membina fasiliti perubatan di negara Kemboja. Disamping itu, mereka adalah golongan reaksioner, bertindak balas hasil daripada keadaan persekitaran mahupun motivasi diri. Henry Dunant adalah seorang usahawan sebelum terjun ke bidang aktivis kemanusiaan setelah terlibat secara langsung dalam perang Solferino. Sybil, seorang jururawat bertindak membela hampir 30,000 anggota militan MPAJA dalam peperangan menentang tentera Jepun. Dr. Lutfi pula ditimpa sakit di bahagian telinga kiri, berazam untuk berbakti kepada masyarakat setelah sembuh sepenuhnya.

Ready, Willing and Able (RWA)

Ciri-ciri tiga karekter ini juga sesuai dengan pandangan penulis tentang modus latihan aktivitis kemanusiaan yang diambil daripada ungkapan Inggeris iaitu  'Ready, Willing and Able' atau 'Sedia, Rela dan Upaya'. Aristotle membahaskan tujuan utama kehidupan manusia adalah untuk mencapai kebahagiaan. Kebahagiaan boleh dicapai, menurut Aristotle dengan bersedia dan merelakan diri untuk berkhidmat demi kebaikan orang lain. Yusuf al-Qaradhawi dalam penulisannya, Ciri-Ciri Unggul Masyarakat Islam menekankan ciri Itsar atau mendahulukan orang lain. Itsar ialah mendahulukan kepentingan saudaranya lebih daripada kepentingan diri sendiri dalam semua perkara yang disukainya. Ia sanggup berlapar dan berdahaga semata-mata untuk mengenyangkan saudaranya, ia sanggup berjaga malam semata-mata untuk menidurkan saudaranya dan ia sanggup mengerah tenaga semata-mata untuk merehatkan saudaranya.

Ungkapan Inggeris RWA juga mengkhususkan aktivis kemanusiaan yang berupaya dalam bidang kepakaran dan pengkhususan masing-masing. Henry Dunant adalah seorang aktivis dan dermawan, Sybil adalah seorang jururawat dan Dr. Lutfi merupakan seorang doktor perubatan. Tiga karekter ini tidak menerima latihan khusus dalam aktiviti kemanusiaan melainkan kesedaran dan keupayaan untuk mengubah masyarakat untuk menjadi lebih baik. Pelbagai latihan khusus aktivitis kemanusiaan yang boleh disertai hari ini, dianjurkan oleh pelbagai pihak baik kerajaan mahupun badan bukan kerajaan. Semestinya aktivis kemanusiaan hari ini lebih kompeten dan berdaya saing untuk melakukan perubahan yang jauh lebih baik berbanding 3 reaksioner. Malala Yousafzai, seorang aktivis kemanusiaan yang memperjuangkan pendidikan untuk gadis dan kanak-kanak telah memberikan impak yang signifikan sehingga dianugerahkan Hadiah Nobel, penerima Hadiah Nobel termuda dalam sejarah.

Berbanding latihan khusus aktivitis kemanusiaan anjuran kerajaan dan badan bukan kerajaan, latihan tidak khusus aktivitis kemanusiaan boleh didapati di kolej/universiti melalui aktiviti-aktiviti sosial anjuran kelab/persatuan. Penglibatan aktif belia/mahasiswa dalam kegiatan di kolej/universiti membentuk peribadi mereka untuk menjadi social animals yang responsif dan berkemajuan. Tambahan pula, penglibatan ini jauh lebih efektif berbanding latihan khusus yang ditawarkan oleh kerajaan dan agensi. Hal ini demikian kerana sifatnya yang berterusan dan pelbagai seiring dengan konsep ever learning atau ongoing education. Namun tidak bermakna latihan khusus tidak relevan, cuma konsep pembelajaran berterusan adalah difokuskan  dan menjurus ke arah melahirkan belia/mahasiswa yang kolektif dan berdaya saing. Imam As-Syafie pernah menyebut Ilmu itu bukan yang dihafal, tetapi yang memberi manfaat.

Savvy Activists

Aktivis kemanusiaan abad ke-21 lahir bukan sahaja di lapangan, tetapi juga di alam maya. Penetrasi jalur lebar negara adalah semakin laju dan bertambah laju dengan komitmen kerajaan untuk menaiktaraf fasiliti jalur lebar negara setanding dengan negara maju pada pembentangan Bajet 2017 yang lalu. Kemajuan ini dimanfaatkan oleh individu dan agensi yang ingin memperjuangkan hal kemanusiaan. Perjuangan mereka melibatkan advokasi atau massa dan berkeupayaan untuk menggerakkan sejumlah manusia yang ramai. Berbanding Henry Dunant, Sybil Kathigasu dan Dr. Lutfi, mereka tidak terlibat secara fizikal di lapangan tetapi memberi pencerahan dan pendedahan kepada orang ramai tentang isu-isu tertentu. Pembersihan etnik Rohingya di Arakan, Myanmar, dan penindasan etnik Uyghur di Xinjiang, China adalah antara isu mutakhir yang semakin mendapat perhatian umum dan wujud savvy activists yang mengungguli isu ini.

Ironinya, kedua-dua isu di atas tidak diberikan perhatian oleh kerajaan memerintah. Kerajaan sedaya upaya menafikan berlakunya penindasan terhadap etnik-etnik tertentu. Kerajaan Myanmar melalui Aung San Suu Kyi, pemenang Hadiah Nobel Keamanan dan juga menteri luar negeri Myanmar dilihat tidak mempedulikan nasib etnik Rohingya sepanjang kempen pilihan raya umum Myanmar yang lepas. Kerajaan China pula menafikan hak kerakyatan kepada etnik Uyghur dan terus-menerus menindas mereka sehingga dilabel sebagai terroris. Namun begitu, hal ini tidak menghalang daripada isu ini mendapat perhatian daripada perhatian umum melalui savvy activists. Agensi antarabangsa seperti Human Right Watch (HRW), Amnesty International dan agensi tempatan seperti Global Peace Mission Malaysia dan Malaysia Life Line for Syria adalah antara agensi yang memperjuangkan isu ini. Agensi ini mendedahkan segala permasalahan yang berlaku di negara berkenaan dan mengajak orang ramai untuk menandatangan petisyen membantah tindakan sedemikian dan memohon sumbangan ramai untuk bantuan kemanusiaan.

Advokasi ini juga melibatkan aktor-karekter yang berkepentingan seperti artis dan aktivis lokal mahupun antarabangsa seperti Tan Sri Michelle Yeoh, Duta UNDP (United Nations Development Program), Emma Watson, Duta United Nations Women Goodwill dan juga seorang adik kecil berumur 4 tahun bernama Kam Su-Sze yang berjaya mengumpul sejumlah RM 33,000 melalui jualan lukisannya untuk UNICEF (United Nations Children's Fund). Penguasaan dalam media sosial, penulisan kreatif dan penggambaran adalah antara fundamental skills untuk seorang savvy activist. Pemahaman penuh terhadap sesuatu isu adalah penting untuk menulis dan berkarya bagi tujuan advokasi. Selain itu, foto dan video bertemakan kemanusiaan juga menarik perhatian orang ramai. Foto ‘Napalm Girl’ yang ditangkap oleh seorang jurugambar, Nick Ut menyedarkan dunia tentang perang Vietnam pada tahun 1972. Terkini, foto seorang kanak-kanak lelaki berbangsa Syria, Omran Daqneesh yang terduduk di ambulan tercedera juga viral di media sosial dan mencerahkan warga dunia tentang nasib rakyat Syria.

Khatimah

Penulis tidak berhajat untuk mengusulkan suatu modus latihan khusus untuk latihan kemanusiaan melainkan pandangan sarwa dan keterlibatan penulis dalam aktivitis kemanusiaan dengan pengalaman beraktivis di Medan, Indonesia selepas Gunung Berapi Sinabung meletus, aktivitis korban di Kompong Cham, Kemboja dan jaringan luar seperti Global Peace Mission Malaysia, Malaysia Life Line for Syria dan Global Peace Foundation Malaysia. Dua ciri aktivis yang boleh disimpulkan berdasarkan penulisan ini, iaitu aktivis lapangan dan savvy activist dengan dua orientasi latihan yang berbeza. Dengan penglibatan aktif belia/mahasiswa dalam media sosial, savvy activist adalah permulaan yang sesuai untuk belia/mahasiswa yang mahu berjinak-jinak dalam bidang kemanusiaan. Manfaatkan media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan blog untuk kerja-kerja kemanusiaan. Penglibatan terus ke lapangan adalah bonus untuk belia/mahasiswa melihat dengan pancaindera (hissi) tentang situasi sebenar di luar. Hamka pernah menyebut, ‘Tugas kita bukanlah untuk berhasil. Tugas kita adalah untuk mencuba, kerana di dalam mencuba itulah kita menemukan dan belajar membangun kesempatan untuk berhasil.

Penulis adalah Naib Presiden (Kampus) Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

No comments:

Post a Comment